Sumber 1.
Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my
ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.
Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.
Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.
"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.
"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.
"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.
"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian
Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.
Sehubungan itu, kata Hashim, NUTP menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perkara tersebut.
Sumber 2.
Guru jangan panik dengan projek rintis kerja sembilan jam
2011/11/12
ALOR SETAR: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong hari ini menasihatkan guru supaya tidak 'panik' dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.
Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan di empat negeri - Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak - berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenalpasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.
"Jadi saya rasa mungkin ada guru-guru yang khuatir kerana mereka merasakan tempoh sembilan jam waktu bekerja itu tidak mengambil kira waktu persediaan mengajar dan juga penglibatan dalam ko-kurikulum. Saya rasa semua itu akan diambil kira," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Kedah di sini hari ini.
Wee berkata, projek itu bagi melihat sama ada benar pendapat orang ramai bahawa tugas seorang guru itu sangat mudah.
"Saya harap semua guru di empat negeri terbabit tidak perlu risau kerana kita hanya membuat percubaan.
"Apabila projek rintis itu meyakinkan kita dan kita dapat membuat kesimpulan secara konkrit, barulah kita memperluaskannya ke semua sekolah di seluruh negara," katanya.
"Jangan anggap itu (projek rintis) sebagai satu kata putus dari kementerian. Biar mereka lakukan dahulu dan melihat hasilnya," katanya. - BERNAMA
Sumber 3;
PROJEK RINTIS 9 JAM WAKTU BEKERJA GURU DITANGGUHKAN..
KUALA LUMPUR, 20 Nov: Selepas didesak pelbagai pihak, akhirnya kerajaan mengumumkan projek printis guru bekerja sembilan jam dimansuhkan.
Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia pada satu sidang media di Labuan semalam.
Beliau berkata, ketetapan itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan guru, selain tidak mahu menambah beban sedia ada.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk PAS menggesa kerajaan memansuhkan cadangan tersebut yang disifatkan 'mengainaya' warga pendidik.
Selain itu, perlaksanaan sistem itu juga didakwa boleh menjejaskan fokus guru kepada pengajaran murid di sekolah.
Isu berkenaan juga sebelum ini turut disuarakan dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
Dianggarkan seramai lebih 5,000 guru dan 104 sekolah di seluruh negara terbabit dalam projek perintis tersebut dengan guru sebelah pagi bertugas di sekolah mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan guru sebelah petang bertugas pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Sumber 4.
LABUAN 19 Nov. - Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek perintis yang mewajibkan guru bekerja sembilan jam sehari pada Januari ini di empat negeri, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, langkah itu bertujuan mengelak salah sangka dan kekeliruan di kalangan masyarakat dan guru sendiri terhadap pelaksanaan program tersebut.
Katanya, kementerian berasakan program tersebut tidak perlu diteruskan, tetapi segala kajian yang telah dibuat akan dilakukan penelitian secara lebih mendalam.
“Program itu juga tidak perlu diteruskan jika guru sendiri tidak memahami kehendak sebenar program tersebut yang bertujuan memperkasakan perkhidmatan guru di negara ini,” katanya. - Utusan.
No comments:
Post a Comment