LAGU RAYA

Siti Nurhaliza - Anugerah Aidilfitri Sudirman - Dari Jauh Kupohon Maaf Lagu Raya- Anuar zain&Ellina- Suasana Hari Raya LAGU RAYER - Ahmad Jais (Selamat Hari Raya) Lagu Raya - P Ramlee - Suara Takbir lagu hari raya aidilfitri - dendang perantau lagu raya-MAMAT-ku pohon restu ayah bonda.MP3

Friday, November 4, 2011

Pelajar PPSMI diberi pilihan teruskan dalam BI - 04/11/2011/Jumaat

Sumber 1.

Pelajar PPSMI diberi pilihan teruskan dalam BI

Kerajaan bersetuju membenarkan murid kohort Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk meneruskan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.

"Jadi pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada 2016 manakala di sekolah menengah adalah pada 2021.

"Dengan keputusan itu, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan berharap dengan keputusan membenarkan kohort PPSMI untuk meneruskan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5 dapat melegakan ibu bapa.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan yakin dengan keputusan itu, pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas.

Dengan pemansuhan PPSMI kelak, beliau berkata murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, Muhyiddin berkata kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Beliau berkata kajian menunjukkan kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

"Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan," katanya.

Menurutnya, hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian menunjukkan pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual dengan murid-murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

"Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris," katanya.

Untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid, Muhyiddin berkata pelbagai inisiatif baru dan lebih efektif sedang dilaksanakan di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Antara inisiatif itu, katanya ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan daripada segi penyediaan guru.

Inisiatif lain termasuk pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, katanya.

- Bernama

Sumber 2.

November 4, 2011

PPSMI sekolah rendah mansuh 2017, sekolah menengah 2021

PUTRAJAYA, 4 Nov — Pelajar yang sudah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan meneruskan persekolahan mereka sehingga tahap Tingkatan Lima.

Oleh itu, PPSMI di sekolah rendah hanya akan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu sepenuhnya pada 2017 manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran itu pada 2021.

Selain itu, Kabinet juga memutuskan pemansuhan PPSMI kekal dan kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula dasar seperti dituntut sesetengah pihak.

Sumber 3.

KENYATAAN AKHBAR OLEH YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN MENTERI PELAJARAN MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

KENYATAAN AKHBAR

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN

MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.

Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibubapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.

Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.

2.
Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.

Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.

Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5 tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.

Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.

Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.

Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains.

Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.

3.
Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut.

Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.

Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

No comments:

Post a Comment